Thursday, October 1, 2009

Nasihat Online Untuk Masalah Kesihatan Anda


Di zaman serba moden dan pantas ini, masalah kesihatan telah menjadi agenda utama dan mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat tidak kira bangsa, umur atau jantina. Mahu atau tidak, kehidupan yang sihat perlu diutamakan bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

Dengan adanya teknologi internet, pelbagai maklumat tidak kira apa jua bentuk sekalipun mampu dikongsi tidak kira dalam apa jua bahasa dan di mana jua pelusuk dunia kita berada.
Maklumat kesihatan juga kini berada di hujung jari anda dengan adanya laman-laman online yang berkongsi maklumat tersebut. Meskipun begitu, anda perlu pastikan nasihat-nasihat tersebut diberikan oleh pakar dan sebagai rujukan anda sahaja. Sebarang masalah khusus anda perlu dirujuk kepada doktor peribadi atau doktor keluarga anda untuk maklumat yang lebih tepat. Pautan atau link ke laman-laman tersebut ada di dalam artikel ini dan anda boleh berkunjung ke sana dengan mengklik nama laman tersebut dengan warna berlainan di dalam artikel ini.

Beberapa jenis penyakit atau masalah kesihatan utama yang dihadapi masyarakat masakini termasuklah masalah jantung, diabetes atau kencing manis dan tekanan.

1. Penyakit Jantung
Jantung adalah bahagian tubuh kita berupa otot yang mengepam darah ke seluruh tubuh kita dengan kadar 60 hingga 100 kali seminit atau lebih kurang 100 ribu denyutan setiap hari. Sebarang penyakit atau kekurangan boleh menyebabkan sistemnya terganggu sama ada dengan denyutan yang tetlalu cepat, terlalu perlahan atau berhenti serta-merta.

Menurut Laman Web Kementerian Kesihatan, penyakit ini adalah merupakan pembunuh nombor satu di Malaysia. Pelbagai komplikasi termasuk penyakit yang menyerang arteri yang dipanggil "coronary artery disease" atau "atherosclerosis". Untuk mengelakkan penyakit sebegini, doktor menyarankan pengambilan pemakanan yang rendah lemak dan rendah sodium (garam), serta senaman yang kerap.

Anda boleh dapatkan gambaran menerusi visual tentang pelbagai komplikasi penyakit jantung dan pelbagai komplikasi yang lain di Laman American Heart Association. Anda juga boleh menggunakan anggaran risiko serangan jantung kepada anda di Laman National Cholesterol Education Program. Anggaran dalam tempoh 10 tahun ini dibuat berdasarkan faktor-faktor seperti umur, jantina, tahap kolesterol, tekanan darah dan gaya hidup anda (sama ada merokok atau tidak)

2. Diabetes
Tubuh kita memerlukan gula sebagai sumber tenaga. Namun begitu, apabila tubuh kita tidak lagi dapat mengawal paras gula dalam tubuh kita, maka kita akan berdepan dengan masalah diabetes yang mengakibatkan gejala-gejala seperti risiko serangan jantung yang lebih tinggi, masalah penglihatan (mungkin mengakibatkan buta), masalah buah pinggang, penyakit gusi dan pelbagai komplikasi kesihatan yang lain.

Antara tanda-tanda umum penyakit ini adalah kerap buang air kecil dan keletihan. Meskipun tiada penawar untuk penyakit ini, namun inya boleh dikawal dengan pengambilan ubat tertentu dan mengawal pemakanan anda.

Sebagaimana serangan jantung, penyakit diabetes boleh dielakkan dengan membiasakan aktiviti senaman sebelum terlambat. Penyakit diabetes boleh menyerang sesiapa sahaja, tanpa mengira faktor umur. Di Malaysia contohnya, semakin ramai golongan muda yang diserang penyakit diabetes ini. Menurut statistik Persatuan Diabetes Malaysia, 1.2 juta rakyat Malaysia telah mengidap diabetes.

Maklumat lanjut tentang diabetes termasuk ciri-ciri, cara mengubati dan tip-tip pencegahan penyakit ini doleh anda dapati di laman web BBC Health. Anda juga boleh cuba membuat anggaran risiko jangkitan diabetes kepada anda berdasarkan jantina, umur, ketinggian, berat, tabiat pemakanan, gaya hidup (sama ada merokok dan mengambil alkohol), kekerapan bersenam dan sejarah pengidapan diabetes dalam keluarga anda.


3. Kemurungan (Depression)
Walaupun penyakit ini tidak seteruk serangan jantung atau diabetes, namun penyakit ini boleh mengakibatkan penderitaan kepada mengidapnya dan dikhuatiri boleh membawa kepada percubaan membunuh diri akibat tekanan yang melampau. Anda boleh dapatkan maklumat lanjut tentang penyakit ini di laman Malaysian Psychiatric Association. termasuk tanda-tanda, punca, pengubatan dan menjalani hidup apabila anda berdepan dengan masalah ini. Maklumat tentang remaja yang berdepan dengan masalah ini boleh didapati di laman About-depression

Berhenti Merokok - Apakah Peluang Anda untuk Berjaya?

Mural di siling kawasan merokok berupa pandangan dari bawah liang lahad semasa upacara pengkebumian ini adalah salah satu gimik bijak kempen anti-rokok yang dihasilkan oleh Everest Brand Solutions dan the Cancer Patients Aid Association. Namun begitu, kejayaannya tetap bergantung kepada setiap individu perokok itu sendiri


Sekiranya anda seorang perokok, sama ada perokok tegar atau suka-suka, tentu anda telah lali dengan pelbagai mesej berupa 'ancaman' akibat tabiat merokok, sama ada kesan dari segi kesihatan terhadap diri anda atau mereka yang berada di sekeliling anda. Gambar-gambar visual eksplisit yang menunjukkan penyakit akibat merokok berupa kanser atau pelbagai penyakit lain mungkin telah biasa anda lihat di kotak rokok, televisyen, dada akhbar, papan tanda atau di dinding bas. Mungkin juga anda pernah menanamkan cita-cita untuk berhenti merokok, tetapi apabila anda bersama yang mereka yang juga merupakan perokok seperti anda, cita-cita anda itu lenyap bersama kepulan asap rokok yang anda hembuskan.

Persoalannya adakah perlu anda berhenti merokok, terutamanya jika anda hanya menghisap beberapa batang sehari? Dan sekiranya anda telah nekad untuk berhenti merokok, apakah peluang anda untuk berjaya berhenti dari tabiat ini terus menerus, dan mungkin hingga ke akhir hayat anda yang masih tinggal?

Pelbagai kempen dan saranan telah diadakan di peringkat negara ataupun global bagi 'memujuk' para perokok untuk meninggalkan tabiat tersebut dan salah satu daripadanya adalah pengisytiharan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada 31 Mei setiap tahun. Pada hari tersebut pelbagai maklumat dan nasihat boleh anda dapati di televisyen, akhbar dan majalah berkaitan dengan cara-cara nutuk meninggalkan tabiat tersebut. Namun begitu, keputusan akhir adalah di tangan anda sama ada anda betul-betul bersedia untuk komitmen memberhetikan aktiviti merokok dalam hidup anda.

Pelbagai statistik tentang merokok:
1. Reaksi terhadap amaran bergambar tentang bahaya merokok
- Di Kanada, 58% daripada perokok berkata bahawa ianya membuat mereka terfikir tentang bahaya merokok.
- Di Brazil, 67% daripada perokok ingin berhenti apabila melihat amaran tersebut
- Di Singapura, 28% daripada perokok berkata amaran tersebut membuatkan mereka kurang merokok dan satu perenam daripada perokok berkata ianya membuat mereka mengelak daripada merokok di hadapan anak-anak.
- Di Thailand, 53% daripada perokok memikirkan risiko ke atas kesihatan mereka dengan adanya amaran tersebut

2. Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) III 2006 menunjukkan 21.5% golongan dewasa di Malaysia adalah perokok. Tinjauan ini juga mendapati 2.5% golongan wanita pernah merokok, dimana hanya 0.9% sahaja yang mampu berhenti merokok. Di kalangan golongan lelaki pula 57.6% golongan lelaki pernah merokok dan 11% berjaya berhenti daripada tabiat tersebut.

3. Setiap tahun lebih 5 juta nyawa di seluruh dunia terkorban akibat merokok dan dijangka akan meningkat kepada 10 juta setahun pada tahun 2020. Daripada jumlah itu, 50% adalah mereka yang berada di dalam pertengahan umur (35-69 tahun)

4. Sebanyak RM8.6 juta sehari digunakan untuk membeli rokok, iaitu 33 juta batang rokok sehari dengan anggaran harga 26 sen sebatang.

5. Di Malaysia terdapat 2.73 juta perokok dan daripada jumlah ini 60.9% adalah berbangsa melayu. Majoriti perokok ini adalah golongan dewasa dan sebanyak 103,630 perokok remaja

6. Pakar runding kardiologi di Institut Jantung Negara, Dr Aizai Azan Rahim memberitahu 30% masalah jantung koronari di negara kita adalah berpunca daripada merokok. Menurut beliau lagi, setiap tahun 10,000 orang yang berhenti merokok adalah kerana kematian, iaitu merokok hingga ke akhir hayat mereka.

7. Dalam tahun 2006, dicatitkan sebanyak 31 ribu kemasukan pesakit ke dalam 773 unit rawatan rapi di Malaysia, dan daripada jumlah itu 12.5 ribu kemasukan adalah dikaitkan dengan "acute coronary syndrome" (ACS) iaitu masalah kerana kekurangan aliran darah ke jantung. Masalah ACS ini sering dikaitkan dengan "third hand smoker"iaitu perokok ketiga iaitu mereka yang terdedah kepada risiko toksin pada rokok bukan secara terus dari asap atau rokok, tetapi dari kesan-kesan yang tinggal pada rambut, pakaian, permaidani atau perabot berkaitan dengan perokok. Risiko ini juga terdedah kepada bayi dan kanak-kanak sebagaimana yang diterbitkan dalam Jurnal Pediatrik Amerika Syarikat.



Kandungan rokok:

Menurut BBC News, terdapat 600 bahan toksik di dalam setiap batang rokok.
Antaranya adalah:

1. Acetone, yang digunakan untuk menanggalkan cat

2. Ammonia yang digunakan dalan pencuci tandas

3. Butane sejenis bahanapi ringan

4. Beta-naphthyl methylether yang digunakan di dalam ubat gegat (mothball)

5. Hydrogen cyanide yang digunakan di dalam bilik gas beracun sebagai hukuman kepada pesalah yang dijatuhkan hukuman mati

6. Methanol sejenis bahanapi untuk roket

7. Arsenik dan karbon monoksida, gas beracun yang dikeluarkan oleh ekzos kenderaan

8. Nikotin, unsur yang boleh mangakibatkan ketagihan


Pelbagai saranan untuk memastikan anda berjaya berhenti merokok:

1. Gantikan tabiat anda, terutamanya apabila anda terasa ingin mula merokok semula, dengan mengunyah gula-gula getah (chewing gum) atau buah-buahan. Pastikan anda menggunakan alternatif yang tidak mempunyai kandungan gula yang tinggi, kerana dikhuatiri anda akan terdedah kepada risiko diabetes.

2. Banyak minum air kosong, dan elakkan dari minuman berkafein.

3. Alih perhatian anda dengan aktiviti yang sihat seperti bersenam, berjoging, merentas hutan, bersukan, meditasi

4. Mandi dengan kerap untuk menyegarkan badan anda daripada keinginan untuk merokok.

5. Jauhi godaan berbentuk berada di tempat-tempat yang dibenarkan merokok atau berada bersama mereka yang sedang merokok.

6. Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sebanyak 3 kali setiap minggu

7. Dapatkan maklumat dan bantuan untuk berhenti merokok di Infoline Berhenti Merokok. Talian ini dibuka setiap Isnin hingga Jumaat antara 8 pagi hingga 5 petang. Nombor taliannya adalah 03-88834400 atau layari laman-laman Infosihat dan MyHealth untuk maklumat lanjut

8. Dapatkan sokongan dari akli keluarga, rakan-rakan dan mereka yang berada di sekeliling untuk menjayakan cita-cita anda

9. Terima hakikat bahawa kesihatan anda dan mereka yang berada di sekeliling anda adalah lebih utama daripada segala 'faedah' yang anda akan dapat melalui merokok.

10. Anda boleh menunggu sehingga anda telah disahkan mengidap penyakit tertentu akibat merokok, tetapi pada masa itu anda mungkin telah terlambat kerana ia tidak dapat dipulihkan lagi. Anda boleh kaji sendiri tahap risiko yang anda hadapi dengan mencuba anggaran pengiraan risiko akibat merokok.

11. Cuba pelbagai alternatif yang mungkin bersesuaian untuk anda seperti Terapi penggantian nikotin yang berbentuk gula-gula getah, gula-gula hisap, tampalan (patch), alat semburan atau alat sedut. Terdapat juga ubat berbentuk pil tanpa nikotin, tetapi anda perlu mendapat nasihat doktor sebelum menggunakannya.


Sumber: Pelbagai artikel berkaitan Kempen Hari Tanpa Tembakau Sedunia di dalam Utusan Malaysia, Harian Metro dan Berita Minggu

Friday, May 22, 2009

Peranan air untuk tubuh badan

Kandungan air dalam tubuh manusia adalah sebanyak 75% manakala dalam tisu otak sebanyak 85% peratus. Air diperlukan di dalam tubuh badan untuk membuang bahan buangan dan toksin. Berikut adalah beberapa fakta penting tentang air untuk tubuh badan kita.



Kenapa tubuh kita perlukan air

1. Proses pembuangan dari sel-sel dan penghantaran bahan buangan dari tubuh melalui buah pinggang, usus, kulit dan paru-paru

2. Menyerap zat-zat ke dalam sel tubuh untuk digunakan

3. Penghadaman makanan menjadi zat-zat melalui cecair di dalam perut, pankreas dan alir liur

4. Peredaran zat-zat di dalam darah dan limpa

5. Pelincir untuk sendi-sendi dan kolon

6. Mengawal suhu tubuh badan dengan mengeluarkan peluh


Tanda-tanda dehidrasi (kekurangan air dalam tubuh)

1. Sakit kepala

2. Sakit di bahagian ulu hati

3. Mudah terganggu dan mengalami tekanan (depression)

4. Sakit pinggang

5. Sakit yang kronik dan berulang

6. Sakit perut

Bibir yang kering bukan tanda awal dehidrasi. Apabila bibir telah kering, kerosakan mungkin telah dialami oleh tubuh akibat dehidrasi dan bibir kering mungkin tanda-tanda akhir ianya telah berlaku.


Bagaimana memastikan anda mendapat air yang cukup

Doktor dan pakar kesihatan menasihatkan kita minum sekurang-kurangnya 8 gelas air sehari secara umum. Bagaimanapun, di dalam cuaca panas atau sekiranya banyak berpeluh kerana bekerja keras atau melakukan senaman, kadar air yang diperlukan adalah dua kali ganda.


Keracunan air melalui botol plastik
Botol air mineral diperbuat menggunakan polyethylene terephthalate atau PET yang mengandungi bahan yang boleh mengakibatkan barah. Ia berpunca dari pemecahan struktur plastik dalam botol tersebut melalui haba (air panas atau dibiar terlalu lama dalam keadaan yang panas termasuk dibiar di dalam kereta) atau proses membasuh yang berulang, mengakibatkan pembocoran bahan yang boleh mengakibatkan barah tadi ke dalam air minuman.

Cara terbaik adalah menggunakan botol-botol air mineral ini sekali sahaja dan terus dikitar semula (bukan diguna semula). Botol-botol dengan label HDPE (high density polyethylene), LDPE (low density polyethylene) dan PP (polypropylene) adalah daripada plastik yang tidak terdedah kepada risiko ini dan selamat digunakan. Jika anda ingin membawa bekalan air untuk dibawa ke mana jua, pastikan anda menggunakan bekas plastik yang bukan terdedah kepada risiko keracunan air.


Sumber: TheHerbsPlace, TrustedMD

Wednesday, May 20, 2009

Tips mendapatkan makanan yang sihat dan seimbang

Bagaimana memastikan anda mendapat makanan sihat dan seimbang:
1. Fahami erti kalori dan tahap yang sesuai untuk anda mengikut umur, jantina, tinggi, berat dan aktiviti fizikal anda

2. Banyakkan pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin dan kekacang, sebaik-baiknya hasilan tempatan yang segar

3. Minum banyak air (75% kandungan badan adalah air) untuk mengelakkan dehidrasi di samping menyahkan toksin dan bahan kumuhan dalam badan terutamanya dari buah pinggang dan pundi-pundi kencing, dan mengelakkan penyakit buah pinggang dan batu karang

4. Kunyah makanan dengan sempurna bagi memastikan pengambilan zat yang maksima dari makanan yang dimakan

5. Hadkan pengambilan makanan bergula dan garam

6. Nikmati semua jenis makanan, tetapi dengan tidah berlebihan

Tips untuk sentiasa cergas tanpa berbelanja besar

Bagaimana untuk sentiasa cergas tanpa berbelanja besar:

1. Lapangkan masa berjalan kaki

2. Tidur awal

3. Makan lebih sayuran, kurangkan daging merah, caffein, gula dan garam

4. Makan sarapan untuk mengelakkan makan tengahari atau malam yang berlebihan

5. Makan makanan seimbang dengan sempurna

6. Jauhi stres yang mempunyai kesan sama seperti toksin dalam badan

7. Basuh tangan sebelum makan

8. Jalani pemeriksaan tahunan kesihatan